58

Wanita Dibelakang Lelaki Yang Hebat – Bahagian 2

Sambungan Bahagian 1

Siapakah wanita dibelakang lelaki yang hebat?

Seorang lagi wanita yang berjaya membesarkan seorang lelaki yang hebat meskipun penuh dengan rintangan dan kepayahan adalah Assiya. Dia lebih diingati sebagai isteri kepada Firaun; namun wanita hebat ini adalah ibu angkat kepada Nabi Musa AS.

Seperti juga Maryam, ibu kepada Nabi Isa, Assiya adalah wanita pilihan Allah SWT untuk memelihara seorang anak kecil yang akan membesar menjadi nabi kepada Allah.

Apakah kualiti yang ada pada Assiya yang membolehkan dia menyokong dan mempengaruhi Nabi Musa?

Sekali lagi, ianya adalah kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sebagai isteri kepada lelaki paling berkuasa dan sombong di seluruh Mesir, Assiya dikelilingi dengan kemewahan, kekayaan dan kecantikan namun dia masih mampu memahami bahawa tanpa Allah, manusia akan sesat tanpa petunjuk dan tidak lengkap.

“Ramai lelaki telah mencapai tahap kesempurnaan, namun tiada seorangpun wanita yang mencapai tahap sedemikian kecuali Maryam, anak Imran dan Assiya, isteri Firaun.” (Sahih Al-Bukhari)

Apabila ibu kandung nabi Musa dipaksa oleh keadaan untuk meletakkan bayi kecilnya yang baru lahir dalam bakul dan mengapungkan dia di sungai Nil, hatinya hampir hancur luluh dan tidak dapat diubati.

Tetapi Allah adalah sebaik-baiknya perancang. Pembantu Assiya mengeluarkan Nabi Musa dari sungai dan menyampaikan bekas kecil itu kepada isteri Firaun. Assiya, berbeza dengan suaminya yang sombong dan bongkak, adalah seorang yang benar, dan penyayang.

Allah membukakan hatinya, dan Assiya melihat ke arah bayi kecil itu dan merasa dikuasi oleh rasa kasih sayang akan dia. Dia meminta kepada suaminya untuk menerima bayi tersebut ke dalam keluarga mereka.

Dan berkatalah isteri Firaun: “(Dia) adalah penyejuk mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak angkat,” sedang mereka tidak menyedari.(al-Quran 28:9)

Sekali lagi, al-Quran menceritakan sedikit sahaja tentang Assiya dan juga mengenai hubungannya dengan anak angkatnya, Nabi Musa.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang wanita yang beriman, dia pastinya telah memberi banyak pengaruh yang mendalam keatas anak angkatnya itu.

Nabi Musa, adalah seorang yang berterus terang dan berani menyuarakan pandangannya, dan mempertahankan golongan yang lebih lemah dalam masyarakat.

Setiap kali dia melihat kekejaman dan penindasan, dia sendiri merasa mustahil untuk menghentikan dirinya daripada campur tangan.

Wanita yang Hebat Di Belakang Lelaki

Psikologi kita pada hari ini memberitahu kita bahawa perasaan untuk menegakkan keadilan, dan keupayaan untuk memahami kesusahan orang lain, dipelajari sejak dari kecil lagi.

Sifat-sifat ini bukanlah kemahiran yang diperolehi pada peringkat usia yang lain. Semestinya Assiya telah membantu dalam menyemai sifat-sifat ini dalam diri anak angkatnya.

Nabi Musa membesar dan menjadi seorang pemuda yang bijak; dalam peribadinya sebagai anak kepada Firaun.

Kita juga tahu daripada al-Quran bahawa ibu kandungnya adalah jururawat beliau sendiri. Ibn Kathir percaya bahawa ibu kandung nabi Musa menetap di istana dan menyusukan dia dan sepanjang anaknya itu membesar, dia dibenarkan untuk melawat anaknya.

Sudah tentu dia telah memiliki peranan dalam membentuk perwatakan Nabi Musa.

Maka Kami (Allah) kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (al-Quran 28:13)

Mungkin sekali nabi Musa disayangi oleh kedua-dua orang ibunya, ibu kandung dan Assiya, ibu angkatnya. Tidak syak lagi bahawa sebelum dia mencapai kedewasaan, nabi Musa tahu akan keadaan Bani Israel dan keadaan politik di Mesir.

Beberapa keadaan tertentu, butir-butiran yang boleh ditemui di dalam al-Quran telah memaksa nabi Musa melarikan diri dari Mesir. Dari seorang anak raja kepada penjenayah, apakah perasaan Assiya ketika itu?

Kita boleh menduga bahawa Assiya tahu akan bahaya yang wujud dalam membenarkan nabi Musa memahami perbezaan hidup di dalam istana dan keadaan keluarga kandungnya yang hidup di dalam daerah yang miskin.

Akhirnya, Firaun mendapat tahu bahawa isterinya secara diam-diam menyembah Tuhan kepada nabi Musa. Dia merasa geram dan amat marah sekali. Firaun mengugut pada masa sama memujuk isterinya Assiya, tetapi hatinya milik Allah saja.

Firaun menawarkan kepada isterinya pilihan, untuk menerima dia (Firaun) sebagai tuhan atau terus menyembah Tuhan kepada Musa dan diseksa sehingga mati. Assiya memilih penyeksaan dan kematian dan disaat-saat akhir hidupnya, dalam penuh kesakitan dapat didengar dia memanggil nama Allah.

“Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” (al-Quran 66:11)

Sebagai penjaga utama dan juga pendidik, si ibu memegang banyak tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab yang terutama adalah dalam mengajar anak-anak yang diamanahkan kepadanya oleh Allah.

Ibulah yang pertama sekali mengajarkan anak-anak dalam mengenali dan mengasihi Allah. Cara terbaik adalah mengajar mereka melalui kisah-kisah teladan dimana mereka dapat berinteraksi dengan persekitaran mereka, dan dalam proses yang sama mempelajari amalan-amalan yang baik di dalamnya.

Sebagai ibu, kedua-dua Maryam dan Assiya telah mendidik anak-anak lelaki dalam jagaan mereka untuk memiliki kepercayaan penuh kepada Allah Yang Satu.

Kredit : Nick Grosoli |anuarsalleh

 

Sambungan Bahagian 3

Shopback

Leave a Reply

avatar