wanita-dibelakang-lelaki

Siapakah Wanita Di Belakang Lelaki Yang Hebat? [TERKINI]

By

Di belakang setiap lelaki yang hebat berdirinya seorang wanita; di belakang setiap lelaki berdirinya seorang wanita yang hebat; di belakang setiap lelaki yang berjaya berdirinya seorang wanita.

Ini adalah tiga variasi berbeza akan pepatah lama, diingati sebagai slogan gerakan feminisma tahun 1960-an dan 1970-an. Jika difikirkan semula, slogan-slogan ini ada benarnya.

Apa pandangan kita akan seorang ibu yang memberikan segala-galanya untuk menyekolahkan anaknya, wanita yang bekerja 3 pekerjaan pada satu-satu masa untuk menanggung anak-anaknya, dan wanita yang berdiri dengan senyapnya di belakang sang suami yang menjadi seorang menteri besar, ahli perniagaan, ahli politik, atau golongan pendidik?

Lelaki kebiasaannya melonjak naik ke peringkat lebih tinggi apabila wanita yang berada di dalam hidup mereka memupuk mereka, memberi sokongan dan menggalakkan mereka untuk menjadi lelaki yang terbaik semampu mereka.

Malahan para Nabi juga mendapat faedah akan nasihat bijak daripada wanita di dalam hidup mereka.

Pada hari ini kita memulakan satu siri artikel mengenai wanita hebat yang berdiri, bukan di belakang tetapi di sisi lelaki-lelaki dalam hidup mereka.

Wanita-wanita hebat ini, dengan cara mereka yang tersendiri, telah memberi sokongan dan galakan kepada golongan lelaki yang hidup mereka penuh dengan bahaya dan perubahan monumental.

Para ibu, isteri dan anak-anak perempuan; pengaruh golongan wanita ini keatas golongan lelaki adalah amat luar biasa sekali. Islam mengelar wanita-wanita ini sebagai insan yang terbaik.

“… terdapat empat wanita yang terbaik: Maryam, anak kepada Imran, Asiah, isteri kepada Firaun, Khadijah, anak kepada Khuwailid dan Fatimah anak kepada Rasulullah SAW”
(Sahih Muslim, Sahih Al Bukhari)

Kunci kejayaan kepada setiap wanita adalah untuk hidup bersandarkan petunjuk Allah SWT. Seperti yang kita ketahui, petunjuk ini terkandung dan dilengkapkan oleh al- Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Mari kita mulakan dengan para ibu; Islam telah banyak kali menekankan peranan penting golongan ini. Nabi Isa AS bersabda,

“… dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup, dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka,…” (Quran 19:31-32)

Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata:

“Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu). (Quran 3:42)

Anak menantu Nabi Muhammad SAW dan sahabat terdekat Ali, berkata,

“Saya mendengar Rasulullah mengatakan Maryam, anak Imran adalah yang terbaik di kalangan wanita.” (Sahih Al Bukhari)

Maryam, di dalam perkataan Arab bermaksud hamba Allah SWT. Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS, telah didedikasikan kepada Allah SWT sebelum dia dilahirkan. Ibu Maryam telah mendedikasikan anaknya ke rumah agama dan, dengan berbuat demikian dia telah menjamin kebebasan Maryam kerana dia memahami bahawa kebebasan yang sebenar hanya boleh dikecapi melalui agama yang sempurna kepada Allah SWT.

Maryam membesar dengan mempunyai kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT dan ceritanya boleh didapati di dalam al-Quran, terutamanya dalam Surah ke 3 dan 19. Dalam Surah ke 5 daripada al-Quran, Maryam dirujuk sebagai siddiqa (yang benar) dan perkataan siddiqa di dalam bahasa Arab membawa makna lebih daripada sekadar berkata benar.

Ia menunjukkan seseorang yang telah mencapai tahap yang amat tinggi akan kebenaran. Ia bermaksud seseorang itu adalah benar, bukan sahaja dengan dirinya dan orang sekeliling mereka, malahan juga di hadapan Allah SWT.

Maryam adalah seorang wanita yang memenuhi perjanjiannya dengan Allah SWT, yang kepadaNya dia menyembah sepenuhnya. Dia seorang yang alim, yang memelihara kehormatannya, dan taat; wanita yang terpilih melebihi wanita-wanita lain untuk menjadi ibu kepada Nabi Isa AS.

Setelah kelahiran Nabi Isa AS, Maryam berhadapan dengan kesusahan yang luar biasa. Meskipun dia adalah seorang wanita muda yang beriman, berkeperibadian dan pandai membawa diri, cuba bayangkan keberaniannya untuk kembali ke kampungnya bersama bayi dalam pelukan.

Dia meninggalkan kampungnya sebagai gadis muda yang tidak jauh umurnya dengan kanak-kanak namun dengan reputasi sebagai seorang yang bertakwa dan beramal soleh.

Wanita yang Hebat Di Belakang Lelaki

Dia kembali sebagai seorang ibu yang belum berkahwin bersama anak yang baru dilahirkan. Bayangkan kata-kata, khabar-khabar angin dan tohmahan-tohmahan yang wujud.

Apabila penduduk bandar mengelilingi dan bertanya kepadanya, dia mengikut arahan Allah SWT dan tidak berkata-kata. Nabi Isa AS, bayi yang berada dalam pelukan Maryam, berkata, mengisytiharkan dirinya sebagai seorang nabi dari Allah. (Al-Quran 19:30)

Islam memceritakan sedikit sahaja akan kisah mengenai kehidupan bersama Nabi Isa AS dengan ibunya Maryam. Sudah tentu kita boleh menyimpulkan Maryam adalah seperti wanita lainnya pada waktu itu. Kecuali pendidikan dan keupayaannya untuk membaca, Maryam akan tinggal dan belajar seperti budak-budak perempuan Yahudi yang lain di sekelilingnya.

Dia pastinya mengemas rumah, memasak, membersih, menjahit, berjalan ke telaga untuk mengambil air tetapi di atas kesemua itu, dia adalah seorang pendidik.

Amat mudah untuk membayangkan Nabi Isa AS duduk di atas pangkuannya atau di kakinya mendengar cerita-cerita daripada bangsanya dan doa-doa mereka. Nabi Isa AS juga dapat merasai dengan rapatnya akan kecintaan dan kepercayaan Maryam kepada Allah SWT.

Berapa besarkah pengaruh Maryam kepada Nabi Isa AS semasa dia membesar? Banyak, adalah jawapan yang paling mungkin.

Setelah Nabi Isa AS dewasa dan memulakan misinya, Maryam pastinya akan berkelakuan seperti ibu-ibu yang lain. Dia mungkin ditelan kebimbangan dan menggalakkan anaknya untuk berusaha menyenangkan Allah SWT.

Maryam tentunya dapat merasakan betapa bahayanya misi Nabi Isa AS namun tanpa keraguan dia menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT dan menyampaikan rasa puasnya akan kehendak Allah SWT kepada anaknya.

Peranan sebagai seorang ibu adalah bersifat monumental dan amat menggalakkan. Bukan sahaja dia berhadapan dengan kegembiran dan kesukaran mengandung dan melahirkan anak, malahan dia mendedikasikan seluruh hidupnya untuk memupuk dan menjaga anak-anaknya.

Adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membesarkan dan mendidik mereka untuk sentiasa jujur dan menjadi manusia yang beramal soleh.

Dia memasak, membasuh, memupuk dan mendidik, juga dia bertanggungjawab keatas kerohanian mereka, emosi dan juga kesihatan fizikal dan kesejahteraan.

Peranan seorang ibu tidak berakhir apabila anaknya membesar dan memulakan kehidupan sendiri. Ia akan terus berjalan dan berjalan dan terus mempengaruhi anak-anak dan cucu-cucunya.

Pada hari ini, dimana peranan seorang ibu semakin menjadi lemah di setiap penjuru dunia, wanita perlu belajar memanfaatkan kekuatan mereka, mencontohi wanita yang hebat seperti Maryam ini, ibu kepada Nabi Isa AS.

Siapakah wanita dibelakang lelaki yang hebat?

Seorang lagi wanita yang berjaya membesarkan seorang lelaki yang hebat meskipun penuh dengan rintangan dan kepayahan adalah Assiya. Dia lebih diingati sebagai isteri kepada Firaun; namun wanita hebat ini adalah ibu angkat kepada Nabi Musa AS.

Seperti juga Maryam, ibu kepada Nabi Isa, Assiya adalah wanita pilihan Allah SWT untuk memelihara seorang anak kecil yang akan membesar menjadi nabi kepada Allah.

Apakah kualiti yang ada pada Assiya yang membolehkan dia menyokong dan mempengaruhi Nabi Musa?

Sekali lagi, ianya adalah kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sebagai isteri kepada lelaki paling berkuasa dan sombong di seluruh Mesir, Assiya dikelilingi dengan kemewahan, kekayaan dan kecantikan namun dia masih mampu memahami bahawa tanpa Allah, manusia akan sesat tanpa petunjuk dan tidak lengkap.

“Ramai lelaki telah mencapai tahap kesempurnaan, namun tiada seorangpun wanita yang mencapai tahap sedemikian kecuali Maryam, anak Imran dan Assiya, isteri Firaun.” (Sahih Al-Bukhari)

Apabila ibu kandung nabi Musa dipaksa oleh keadaan untuk meletakkan bayi kecilnya yang baru lahir dalam bakul dan mengapungkan dia di sungai Nil, hatinya hampir hancur luluh dan tidak dapat diubati.

Tetapi Allah adalah sebaik-baiknya perancang. Pembantu Assiya mengeluarkan Nabi Musa dari sungai dan menyampaikan bekas kecil itu kepada isteri Firaun. Assiya, berbeza dengan suaminya yang sombong dan bongkak, adalah seorang yang benar, dan penyayang.

Allah membukakan hatinya, dan Assiya melihat ke arah bayi kecil itu dan merasa dikuasi oleh rasa kasih sayang akan dia. Dia meminta kepada suaminya untuk menerima bayi tersebut ke dalam keluarga mereka.

Dan berkatalah isteri Firaun: “(Dia) adalah penyejuk mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak angkat,” sedang mereka tidak menyedari.(al-Quran 28:9)

Sekali lagi, al-Quran menceritakan sedikit sahaja tentang Assiya dan juga mengenai hubungannya dengan anak angkatnya, Nabi Musa.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang wanita yang beriman, dia pastinya telah memberi banyak pengaruh yang mendalam keatas anak angkatnya itu.

Nabi Musa, adalah seorang yang berterus terang dan berani menyuarakan pandangannya, dan mempertahankan golongan yang lebih lemah dalam masyarakat.

Setiap kali dia melihat kekejaman dan penindasan, dia sendiri merasa mustahil untuk menghentikan dirinya daripada campur tangan.

Wanita yang Hebat Di Belakang Lelaki

Psikologi kita pada hari ini memberitahu kita bahawa perasaan untuk menegakkan keadilan, dan keupayaan untuk memahami kesusahan orang lain, dipelajari sejak dari kecil lagi.

Sifat-sifat ini bukanlah kemahiran yang diperolehi pada peringkat usia yang lain. Semestinya Assiya telah membantu dalam menyemai sifat-sifat ini dalam diri anak angkatnya.

Nabi Musa membesar dan menjadi seorang pemuda yang bijak; dalam peribadinya sebagai anak kepada Firaun.

Kita juga tahu daripada al-Quran bahawa ibu kandungnya adalah jururawat beliau sendiri. Ibn Kathir percaya bahawa ibu kandung nabi Musa menetap di istana dan menyusukan dia dan sepanjang anaknya itu membesar, dia dibenarkan untuk melawat anaknya.

Sudah tentu dia telah memiliki peranan dalam membentuk perwatakan Nabi Musa.

Maka Kami (Allah) kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (al-Quran 28:13)

Mungkin sekali nabi Musa disayangi oleh kedua-dua orang ibunya, ibu kandung dan Assiya, ibu angkatnya. Tidak syak lagi bahawa sebelum dia mencapai kedewasaan, nabi Musa tahu akan keadaan Bani Israel dan keadaan politik di Mesir.

Beberapa keadaan tertentu, butir-butiran yang boleh ditemui di dalam al-Quran telah memaksa nabi Musa melarikan diri dari Mesir. Dari seorang anak raja kepada penjenayah, apakah perasaan Assiya ketika itu?

Kita boleh menduga bahawa Assiya tahu akan bahaya yang wujud dalam membenarkan nabi Musa memahami perbezaan hidup di dalam istana dan keadaan keluarga kandungnya yang hidup di dalam daerah yang miskin.

Akhirnya, Firaun mendapat tahu bahawa isterinya secara diam-diam menyembah Tuhan kepada nabi Musa. Dia merasa geram dan amat marah sekali. Firaun mengugut pada masa sama memujuk isterinya Assiya, tetapi hatinya milik Allah saja.

Firaun menawarkan kepada isterinya pilihan, untuk menerima dia (Firaun) sebagai tuhan atau terus menyembah Tuhan kepada Musa dan diseksa sehingga mati. Assiya memilih penyeksaan dan kematian dan disaat-saat akhir hidupnya, dalam penuh kesakitan dapat didengar dia memanggil nama Allah.

“Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” (al-Quran 66:11)

Sebagai penjaga utama dan juga pendidik, si ibu memegang banyak tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab yang terutama adalah dalam mengajar anak-anak yang diamanahkan kepadanya oleh Allah.

Ibulah yang pertama sekali mengajarkan anak-anak dalam mengenali dan mengasihi Allah. Cara terbaik adalah mengajar mereka melalui kisah-kisah teladan dimana mereka dapat berinteraksi dengan persekitaran mereka, dan dalam proses yang sama mempelajari amalan-amalan yang baik di dalamnya.

Sebagai ibu, kedua-dua Maryam dan Assiya telah mendidik anak-anak lelaki dalam jagaan mereka untuk memiliki kepercayaan penuh kepada Allah Yang Satu.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Quran 30:21)

Perasaan cinta dan kasih sayang yang tertanam dalam hati anda adalah satu cara yang indah untuk menggambarkan hubungan yang tenang antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Perkahwinan adalah satu ikatan suci, sesuatu yang dilakukan bukan sekadar antara seorang lelaki dan seorang wanita, namun antara satu pasangan dengan Allah SWT. Ianya adalah hubungan di mana hak dan tanggungjawab amat jelas dan tujuannya adalah untuk menyenangkan Allah dengan berusaha mendapatkan tempat di Syurga,

Seperti mana seorang ibu mampu memberi pengaruh yang besar keatas anak-anaknya, isteri-isteri juga dapat mempengaruhi golongan suami mereka.

Wanita yang hebat, wanita yang mengasihi Allah di atas segala-galanya adalah satu rahmat dan suami mereka kebiasaannya menjadi lelaki yang hebat kerana menerima sokongan padu daripada isteri-isteri mereka.

Nabi Muhammad SAW, bersabda,“Yang terbaik di antara kamu adalah orang-orang yang terbaik untuk isteri-isteri mereka.” [Surah al Tarmizi]

Kenapakah baginda telah menjelaskan hal ini beberapa kali?

Mungkin kerana perkongsian yang dibina di atas kasih sayang dan belas kasihan adalah asas kejayaan, manakala hubungan yang dibina di atas penguasaan dan ketidakpercayaan jarang berjaya kecuali menuju kepada kepiluan dan kesedihan.

Satu lagi sebab yang mungkin adalah hakikat bahawa semasa zaman pra-Islam Arab, perempuan begitu dipandang rendah sehinggakan bayi perempuan ditanam hidup-hidup dan wanita diperlakukan seperti binatang ternakan.

Seorang tokoh teladan terbaik untuk golongan wanita, terutamanya para isteri, telah dilahirkan pada zaman kejahilan ini, namun dia berjaya naik diatas diskriminasi yang berada di sekelilingnya dan memiliki perkahwinan yang paling berjaya dalam sejarah.

Dia adalah Khadijah, yang pertama, selama 25 tahun, satu-satunya isteri kepada Nabi Muhammad.

Apakah yang kita tahu akan Khadijah, yang menjadikan dia seorang isteri dan teladan yang luar biasa? Mengapa kita mempertimbangkan Khadijah, anak perempuan Khuwaylid, menjadi wanita yang hebat berdiri di samping seorang lelaki yang hebat?

“Maryam, anak Imran, adalah yang terbaik di kalangan wanita (di dunia masa itu) dan Khadijah adalah yang terbaik di kalangan wanita (negara ini)” (Sahih Al-Bukhari)

Khadijah berusia 40 tahun dan dua kali menjanda apabila dia berkawian dengan Nabi Muhammad SAW, ketika itu berusia 25 tahun, yang mana belum lagi berada di peringkat menerima kenabian.

Khadijah adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya, kaya-raya dalam haknya yang tersendiri dengan reputasinya berurusan dengan orang kurang upaya, anak-anak yatim, janda dan orang miskin dengan penuh kasih sayang.

Sebagaimana Nabi Muhammad dikenali sebagai Al-Amin – dia yang boleh dipercayai, Khadijah pula dikenali sebagai At-Tahira, yang tulen. Khadijah kagum dengan kejujuran Nabi Muhammad ketika baginda bekerja dengannya untuk berdagang di Syria dan sekembalinya ke Makkah, dia melanggar sesuatu yang konvensional pada ketika itu dan mencadangkan perkahwinan kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menerimanya dengan tenang, pada waktu itu juga.

Islam mengajar kita bahawa seorang wanita perlu sentiasa memaparkan kelembutan dan mengambil berat akan suaminya. Khadijah telah menyayangi dan menyokong sepenuhnya Nabi Muhammad SAW melalui tahun-tahun kesukaran dalam menegakkan agama Islam.

Dengan semangat kerjasama dan persahabatan yang wujud dalam sesebuah perkahwinan yang benar-benar Islam, lelaki dan wanita yang hebat tidak memiliki masalah untuk saling membantu antara satu sama yang lain.

Nabi Muhammad dikenali dalam membantu melakukan banyak kerja-kerja rumah seperti membersih dan membaiki pakaian. Telah diriwayatkan mengenai baginda,”Dia selalu menyibukkan dirinya dengan kerja-kerja rumah dan keluar ketika waktu solat tiba.” (Sahih al Bukhari)

Khadijah, dalam peranannya, menjaga rumah yang menjadi tempat perlindungan dari kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad setiap hari. Dia juga meluangkan masanya dan pengetahuannya.

Dia menyokong suaminya dengan nasihat, pandangan dan secara umumnya dalam cara yang praktikal. Nabi Muhammad bersabda,

Dunia ini hanya sementara, kemudahan dan keselesaan yang terbaik di dunia ini adalah wanita yang solehah” [Ibid] (Isteri, ibu, anak perempuan)

Apabila Nabi Muhammad menerima wahyu pertama dari malaikat Jibril, ia adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan. Meskipun ianya adalah amalan baginda untuk menghabiskan masa bersendirian di dalam gua, bertafakur dan menghayati keajaiban alam semesta, baginda tidak menyangka akan dikunjungi oleh malaikat yang meminta dia, seorang yang buta huruf, untuk membaca.

Baginda berlari pulang kepada isteri yang menyayangi dan menyokongnya sesegera yang mungkin, dengan berkata,

“tutupla aku, tutupla aku!”

Nabi Muhammad memberitahu isterinya apa yang telah berlaku dan menyatakan kerisauannya. Khadijah tidak memperkecilkannya atau meraguinya, malahan dia bertindak balas kepada permintaan untuk “tutuplah aku” dan menenangkan suaminya dengan perkataan penuh kasih sayang.

“Allah tidak akan meninggalkan kamu. Kamu menegakkan hubungan persaudaraan, bercakap benar, membelanjakan wang ke atas orang-orang miskin, memberi wang kepada yang tidak punya wang, menghormati tetamu dan membantu mereka yang dalam kesusahan” [Ibid]

Oleh yang demikian, Khadijahlah yang menjadi orang pertama menerima ajaran Islam dan dia berdiri di samping suaminya dimana saudara dan rakan-rakan menentang Rasulullah, dan berkomplot untuk membunuhnya.

Dengan perkembangan Islam yang baru ditubuhkan, Khadijah menyokong kebangkitan Islam dengan harta dan kesihatannya. Dia menyediakan makanan, air dan ubat-ubatan untuk masyarakat yang dibuang negeri atau dipulaukan.

Walaupun dia tidak biasa akan kehilangan harta, Khadijah tidak pernah mengadu akan keadaan yang miskin yang terpaksa dilalui malahan tidak pernah iri hati akan wangnya digunakan untuk membantu suaminya dalam misinya.

Khadijah adalah teladan yang sempurna untuk isteri dalam apa-apa keadaan atau abad. Perkahwinan di mata Tuhan adalah menjadikan dua orang sebagai satu. Mereka menyayangi dan melindungi antara satu sama lain dan tidak pernah kehilangan matlamat hidup yang lebih luas.

Khadijah memahami bahawa kehidupan sebenar dan kehidupan kekalnya dengan Rasulullah adalah di Syurga, di mana mereka tidak memerlukan atau menginginkan wang untuk keselesaan dan perlindungan.

Pada suatu hari malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad dan berkata, ‘Wahai Pesuruh Allah, Khadijah datang kepadamu dengan kapal yang mengandungi makanan dan minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan kepadanya salam damai sejahtera dari Allah yang memelihara dan dari saya, dan berikan dia khabar gembira dengan sebuah rumah daripada mutiara di syurga, di mana tidak ada bunyi atau kerja keras. “[Sahih Bukhari, Sahih Muslim ]

Tidak lama setelah tamatnya pembuangan negeri itu, Khadijah meninggal dunia; Hampir pasti adalah akibat daripada keadaan miskin yang ditanggungnya. Walau bagaimanapun, kasih dan belas kasihan antara Rasulullah dan Khadijah telah terus berkembang melalui ujian dan seksaan mereka dan kematian pun tidak dapat memutuskan ikatan yang mengikat mereka.

Aisyah bertanya kepada Nabi Muhammad jika dia telah sampai ke tahap yang telah dicapai oleh Khadijah dari segi kasih sayang Nabi. Baginda menjawab,

“Dia percaya kepadaku, apabila tiada orang lain; dia menerima Islam apabila orang lain meninggalkanku; dan dia membantu dan menenangkanku, apabila tidak ada orang lain untuk memberiku bantuan.” [Imam Ahmad]

Kata-kata Aisyah juga mendedahkan betapa mendalamnya cinta yang mungkin di antara seorang lelaki dan seorang wanita yang perkahwinannya berdasarkan mencari keredaan Allah.

Aku tidak pernah merasa cemburu dengan mana-mana wanita seperti mana aku cemburu dengan Khadijah.

Dia telah meninggal dunia tiga tahun sebelum Rasulullah berkahwin denganku. Aku sering mendengar Rasulullah memuji akan dia, dan Tuhannya Yang Maha Esa, memerintahkan Rasulullah untuk memberikan dia khabar gembira mengenai sebuah rumah dari mutiara di syurga:

dan setiap kali Rasulullah menyembelih kambing, Rasulullah menyampaikan (daging) kepada sahabat perempuannya [Sahih Al-Bukhari].

Dikatakan bahawa perkahwinan adalah separuh daripada agama seseorang [Al-Bayhaqi] dan ini menjadi jelas dan boleh difahami apabila kita dapat melihat perkahwinan antara Nabi Muhammad SAW dan Khadijah. Wanita yang hebat ini berdiri di sisi seorang lelaki yang hebat apabila dia merasa tidak keruan, berseorangan dan penuh kebimbangan.

“… terdapat empat wanita yang terbaik: Maryam, anak kepada Imran, Assiyah, isteri kepada Firaun, Khadijah, anak kepada Khuwailid dan Fatimah anak kepada Rasulullah SAW”
(Sahih Muslim, Sahih Al Bukhari)

Kunci kejayaan bagi mana-mana perempuan adalah untuk hidup mengikut petunjuk Allah. Panduan ini terkandung dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad.

Dalam perbincangan kita tentang wanita yang hebat berdiri di samping lelaki dalam hidup mereka, kita telah membincangkan mengenai peranan isteri dan ibu, dan hari ini adalah giliran untuk anak perempuan pula.

Anak-anak perempuan boleh memegang kekuasaan yang besar ke atas bapa kesayangan mereka.

Anda mungkin pernah mendengar ungkapan, “dia memutarbelitkan ayahnya di sekitar jari manisnya”, yang bererti bahawa anak perempuan itu mampu untuk memujuk ayahnya dengan mudah.

Itu ada benarnya namun anak perempuan juga boleh membimbing, melindungi dan menyokong bapa-bapa mereka.

Kasih seorang anak boleh mendorong seorang ayah kepada perkara-perkara yang baru dan lebih besar dan sokongan seorang anak perempuan itu mampu menjadi sesuatu yang tidak ternilai harganya.

Anak perempuan yang kita akan bincangkan adalah Fatimah, anak bongsu kepada Nabi Muhammad SAW yang dikasihi oleh Nabi Muhammad dan isterinya Khadijah.

Fatimah adalah anak bongsu daripada empat anak-anak mereka yang hidup, kesemuanya anak-anak perempuan.

Fatimah adalah kanak-kanak yang pendiam, sensitif, dan taat kepada ibu bapanya, dan rapat dengan adik-beradiknya.

Walau bagaimanapun semasa dia berusia sepuluh tahun, dia mempunyai kesempatan untuk berdiri di hadapan menjadi seperti lelaki yang gagah dan bersuara untuk ayahnya.

Dia memiliki tubuh kanak-kanak dan hati seekor singa yang perkasa.

Wanita yang Hebat Di Belakang Lelaki

Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang berdoa berhampiran Kaabah, beberapa orang dari keluarga-keluarga berada di Makkah membeli sebuah baldi berisikan usus-usus unta dan membuangnya di belakang Rasulullah ketika Rasulullah dalam keadaan bersujud.

Sudah pasti usus-usus itu berat dan berbau namun Rasulullah tetap meneruskan solatnya. Fatimah berdiri di kalangan orang-orang tersebut tanpa takut akan perlakuan jahat mereka.

Dia membuang usus-usus tersebut dan secara lisan membidas orang-orang tadi, yang berdiri disitu tetapi tidak bertindak balas kepada gadis kecil itu. [Sahih Al-Bukhari]

Di ketika yang lain pula, Fatimah sedang bersama bapanya ketika dia tawaf di sekitar Kaabah. Sekumpulan orang yang jahat berkumpul di sekeliling Rasulullah dan cuba mencekik Rasulullah dengan jubahnya sendiri.

Fatimah yang masih kecil menjerit dan menjerit meminta pertolongan dan pada ketika ini Abu Bakar datang untuk menyelamatkan Nabi dan dipukul dengan teruknya.

Sementara kanak-kanak perempuan yang lain berlari-larian dan bermain, Fatimah menyaksikan penderitaan bapanya.

Berbanding keriangan dan gelak ketawa, Fatimah bimbang akan bapanya dan mempertahankan misinya. Kedua-dua bapa dan anak perempuan ini menjadi sahabat yang sangat rapat.

Layanan Rasulullah keatas Fatimah jelas menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat Rasulullah kepada anaknya yang paling bongsu. Rasulullah dikenali pernah berkata,

“Fatimah adalah sebahagian daripada aku, dan sesiapa yang membuat dia marah, membuat aku marah.” [Sahih Al-Bukhai, Sahih Muslim]

Kehidupan bagi Fatimah berterusan menjadi sukar dan menyedihkan. Penginayaan dan pemulauan umat Islam berterusan dan Rasulullah, keluarga dan pengikut-pengikutnya terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berlindung di sebuah lembah yang kecil.

Di sana mereka terpaksa menjalani tempoh berbulan-bulan dengan kesusahan dan penderitaan dan dikatakan bahawa tangisan kanak-kanak lapar boleh didengari di seluruh lembah dan di dalam bandar Makkah.

Ibu Fatimah, wanita yang hebat, Khadijah meninggal dunia tidak lama selepas pemulauan tersebut berakhir, mungkin disebabkan oleh berbulan-bulan kehilangan hak itu.

Fatimah telah ditimpa kesedihan yang amat sangat dan keluarganya merasa risau akan kesihatannya, namun dia bangkit dan menjadi lebih rapat dengan bapanya.

Dia menjaga Rasulullah dan menyokong baginda sepenuhnya sehinggakan ada masa dia dikenali sebagai Ummu Abi-ha, ibu kepada ayahnya.

Pada satu ketika bapanya pulang dalam keadaaan diliputi lumpur dan debu yang dilemparkan oleh perusuh kepadanya. Fatimah menangis seolah-olah hatinya akan retak dan bapanya berkata kepadanya,

“Jangan menangis anakku,” katanya, “kerana Tuhan akan melindungi bapamu.” [Sahih Muslim]

Nabi Muhammad amat menyayangi Fatimah, namun, baginda tidak menunjukkan sebarang layanan yang lebih selagi mana kebenaran itu lebih diutamakan.

Nabi Muhammad mengambilberat, bahawa apa yang terbaik antara seorang bapa dan anak perempuannya adalah di akhirat kelak.

Pada satu hari, ketika berurusan dengan seorang pencuri, Nabi didengari berkata,

“Orang-orang sebelum kamu telah dibinasakan kerana mereka pernah mengenakan hukuman undang-undang kepada orang yang lemah dan mengampuni yang kaya.

Demi rahmat yang menguasai jiwaku! Jika anak perempuanku Fatimah melakukannya (iaitu mencuri), aku akan memotong tangannya.”

Fatimah berkahwin dengan sepupu yang juga rakan semasa zaman kanak-kanaknya, Ali ibn Abu Talib.

Meskipun ramai yang melamar Fatimah, termasuk Abu Bakar dan Omar ibn Al Khattab, Nabi Muhammad merestukan perkahwinan antara anak perempuannya dan Ali itu.

Ikatan antara bapa dan anak perempuan kekal kukuh dan Nabi Muhammad sering dilihat melawat Fatimah selepas baginda pulang dari perjalanan atau peperangan sebelum beliau melawat mana-mana isteri-isterinya.

Keselesaan apakah yang Nabi rasakan di hadapan Fatimah.

Mungkin dia mengingatkannya tentang Khadijah yang dicintainya; mungkin dia suka berada dalam kehadiran gadis kecil yang berdiri dihadapan perusuh-perusuh untuk melindungi bapanya lagi dan lagi.

Gadis kecil itu kini adalah seorang wanita Islam yang kuat dan pintar.

Golongan bapa bukan sahaja memberi inspirasi kepada anak-anak perempuan mereka malahan sering juga diilhamkan oleh mereka.

Reputasi Fatimah kerana ketakwaan dan amalnya tentu membuat bapanya merasa bangga dan gembira.

Walau bagaimanapun tidak kira betapa rapatnya mereka, bapa adalah seorang ayah yang pertama dan terakhir, dan ketika dia mendapati bahawa Fatimah dan Ali tidak kerap berdoa solat malam seperti yang disyorkan, beliau menyuarakan rasa tidak puas beliau dengan tegas [Sahih Muslim].

Wanita yang Hebat Di Belakang Lelaki

Satu lagi semasa Fatimah meminta akan hamba (orang suruhan), Nabi Muhammad mengajar Fatimah dan Ali kata-kata peringatan yang berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia masih ingat hingga ke hari ini.

“Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? Apabila kamu pergi ke katil mengatakan ‘Subhan Allah (Betapa sempurnanya Allah)’ tiga puluh tiga kali, ‘Alhamdulillah (Segala puji dan syukur adalah kerana Allah)’ tiga puluh tiga kali, dan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) ‘tiga puluh empat kali, kerana itu adalah lebih baik bagimu daripada seorang hamba. “[Sahih Al-Bukhari]

Apabila Nabi Muhammad menjadi sakit tenat, baginda memanggil untuk anaknya yang tercinta Fatimah. Dia mencium anaknya dan berbisik beberapa perkataan dalam telinganya.

Fatimah menangis dan ayahnya menariknya rapat dan berbisik lagi, dia tersenyum.

Apabila isteri Nabi Muhammad, Aisyah bertanya kepada Fatimah tentang perbualan tersebut, dia menjawab,

“Rasulullah memberitahuku bahawa baginda akan menemui Tuhannya selepas beberapa ketika dan aku menangis.

Kemudian Rasulullah berkata ‘Jangan menangis kerana kamu akan menjadi yang pertama daripada isi rumahku untuk menyertai aku.’ [Ibid]

Maka aku tersenyum.

“Dalam riwayat yang lain Nabi Muhammad dikatakan telah memberitahu Fatimah bahawa dia akan menjadi pemimpin wanita Syurga. [Ibid]

Fatimah adalah salah seorang daripada empat wanita hebat Islam. Dia adalah seorang isteri dan seorang ibu tetapi sebelum itu dia adalah pertama-tamanya, seorang anak perempuan.

Salah satu ciri-ciri yang paling membezakan seorang anak perempuan Muslim adalah layanannya kepada ibu bapanya.

Fatimah adalah seorang yang baik dan penuh rasa hormat, dan penuh dengan kasih sayang dan cinta. Dia mempelajari adabnya dari Khadijah ibunya itu; dia belajar kesabaran daripada bapanya, Rasullah SAW.

Allah telah menciptakan seorang anak perempuan yang patut dicontohi sepanjang zaman.

Leave a Reply

avatar

You may also like

Terkini