Konsisten Membaca Al Quran

Konsisten Membaca Al Quran – Tips Penting Amalan Mudah

By

Anda seorang lelaki yang konsisten membaca Al Quran? Salam sejahtera buat pembaca yang dirahmati Allah SWT sekalian. Dalam artikel kali ini, dengan izin Allah SWT, penulis ingin berkongsi tips-tips untuk kekal konsisten dalam membaca al-Quran.

Memang benar sekiranya kita ingin melakukan amal ibadah, agar sukar untuk kita kekal konsisten. Hal ini kerana iman kita tidak tetap. Sekejap turun. Sekejap naik.

Namun begitu, kita harus tetap bersyukur kerana masih mempunyai keimanan dalam diri kita. Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkankan kepada Rasulullah SAW dalam Bahasa Arab menerusi perantaraan malaikat Jibrail AS sebagai panduan buat kita, iaitu umat akhir zaman.

Isi kandungan al-Quran tidak akan berubah oleh peredaran zaman.

Pernahkah pembaca sekalian berasa sangat tenang sewaktu membaca al-Quran dan berasa ingin meneruskan pembacaan? Pernah bukan? Rasa seronok. Rasa tenang. Itulah kelebihan al-Quran.


Artikel Menarik : Istikhaarah Adakah anda tahu bagaimana untuk melakukannya?


Mampu menenteramkan jiwa yang resah dibadai ujian duniawi. Namun begitu, dapatkah pembaca sekalian konsisten ataupun istiqamah dalam membaca al-Quran?

Jika ya, maka ucapkanlah syukur kepada Allah SWT kerana memilih kita dan memaut hati kita untuk sentiasa dekat dengan al-Quran.

Dengan dekatnya hati kepada al-Quran, ia mampu membantu menjadi pemisah antara yang hak dengan yang batil dalam menempuh kehidupan dunia, serta akan menjadi penolong di akhirat kelak bagi sesiapa yang sentiasa ikhlas membacanya.

Bagi memulakan langkah untuk kekal konsisten membaca Al Quran, jadikanlah al-Quran sebagai sesuatu yang sangat kita impikan.

Yang sangat kita minati. Yang sangat kita cintai. Sebagaimana rasa cinta dan minat kita terhadap hal-hal duniawi.

Sama sepertinya jika kita melihat orang lebih berharta daripada kita. Kita mulai iri hati dan mengharapkan agar diberikan harta seperti orang tersebut.

“Tidak boleh iri kecuali dalam dua kenikmatan: seseorang yang diberi Al-Qur’an oleh Allah kemudian ia membacanya sepanjang malam dan siang, dan orang yang diberi harta oleh Allah lalu ia membelanjakannya di jalan Allah sepanjang malam dan siang.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Oleh hal demikian, berasa cemburulah kita terhadap mereka yang mempunyai harta akhirat yang banyak ataupun rajin berusaha mengumpul harta akhirat seperti membaca al-Quran dan menghafaznya.

Hal ini hanya akan dapat dirasai apabila kita mula mempunyai keimanan yang mantap dan keyakinan yang teguh terhadap janji dan ganjaran Allah SWT di akhirat kelak.

Ini sekaligus dapat membuatkan kita menjadi lebih bersungguh-sungguh dalam memahami, mempelajari dan mengamalkan konsisten membaca al Quran dalam kehidupan seharian.

Konsisten Membaca Al Quran

Kita juga seharusnya merayu diri sendiri agar mencintai al-Quran sama juga halnya seperti kita memujuk diri untuk menerima sesuatu ketentuan dalam hidup.

Jadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama di waktu lapang. Jadikan diri ini sentiasa dahagakan ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran, jadikan diri ini sentiasa rindu sekiranya tidak dapat mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam syurga-Ku”

(Al-Fajr [89]:27-30)

Perkara lain yang boleh kita lakukan bagi menjadikan diri ini lebih konsisten untuk membaca al-Quran adalah dengan memahami maknanya.

Cuba baca al-Quran beserta terjemahannya. Kisah-kisah di dalam al-Quran sangatlah menarik untuk dibaca. Mungkin dengan cara ini, kita akan menjadi lebih teruja untuk terus mengetahui apakah sambungan kisah tersebut sekaligus membuat kita terus membaca al-Quran.

Yang terakhirnya, penulis merasakan sekiranya seseorang itu mampu membaca dan melagukan al-Quran dengan baik, ia mampu membuatkan kita menjadi lebih tertarik untuk membaca al-Quran.

Sebagai contoh, mengapakah seseorang itu gemar menyanyi? Mungkin jika diri merasakan suaranya sangat merdu, mungkin itulah sebabnya yang membuatkan dirinya gemar menyanyi.

Oleh itu, berusahalah untuk mempelajari al-Quran dan berusahalah untuk membacanya dengan merdu. Diharapkan dengan keupayaan kita melagukan al-Quran tersebut, dapat menjadikan hati ini lebih asyik dan tertarik untuk terus konsisten membacanya.

Leave a Reply

avatar

You may also like

Terkini