Ekonomi Islam

7 Tips untuk Perniagaan Islam

By

Bagaimana untuk Meningkatkan Keuntungan dan Membantu Mengembangkan Ekonomi Islam?

“Saya menetap di pinggir bandar di mana terletaknya 3 buah kedai menjual daging dalam jarak 5 batu, dan yang lainnya kira-kira 30 minit perjalanan. Saya adalah seorang muslimah Amerika.

Dalam ketiga-tiga kedai yang dimiliki oleh peniaga Pakistan/India tersebut, layanan yang saya terima amat buruk sekali. Sebagai tambahan, kedai-kedai tersebut amat kotor dan langsung tidak mengikut kod kesihatan yang ada.

Darah daripada daging tersebar dari kaunter daging ke kaunter pembayaran, tangan kepada wang dan pen, dsb.

Dalam kedai yang lebih jauh itu pula, pemilik kedai pernah berkelahi dan hampir-hampir bertumbuk dengan para pelanggan, dan tidak akan mendedahkan sumber daging beliau.

Saya telah mencuba sedaya-upaya untuk membeli daging yang Halal, namun saya merasakan untuk berurus niaga dengan orang-orang sebegini adalah sesuatu yang saya tidak dapat terus lakukan.”


Pengguna-pengguna Islam sering dikritik kerana tidak melakukan secukupnya untuk menyokong perniagaan Islam, samada untuk membayar lebih untuk membeli sesuatu produk, atau untuk memandu lebih jauh untuk ke kedai-kedai tersebut (milik orang Islam).

Namun, apa yang jarang dibincangkan adalah apakah yang tanggungjawab peniaga-peniaga Islam ini, terutamanya kedai-kedai runcit Halal, keatas masyarakat Islam.

Aduan di atas sememangnya tidak mencerminkan semua kedai-kedai runcit Halal. Namun demikian, masalah-masalah yang digariskan di dalamnya tidak boleh diabaikan.

Seandainya peniaga-peniaga Islam inginkan sokongan pengguna-pengguna Islam, mereka perlu berusaha lebih untuk menampung permintaan pengguna, menyediakan perkhidmatan dan harga yang jauh lebih baik.

Ahli sains sosial berpengkalan di New York, Ilyas Bayunus telah menjalankan satu kajian di mana beliau mendapati bahawa Chicago mempunyai penduduk Islam seramai kira-kira 300,000 orang. Negeri Illinois pula mempunyai penduduk Islam seramai 400,000 orang.

Ini menunjukkan kuasa membeli yang agak besar di kalangan umat Islam di bandar ini dan negeri ini.

Di Chicago sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 60 buah kedai runcit daging Halal yang dimiliki dan dikendalikan oleh orang Islam.

Pada masa ini, perniagaan daging Halal menjana pendapatan hampir $5 juta setahun. Tetapi potensi keuntungan boleh menjadi setinggi $60 hingga $80 juta.

Pasaran tersebut malangnya tidak dibangunkan atas beberapa sebab, sebahagian daripadanya adalah disebabkan oleh pengguna-pengguna Islam, yang lainnya disebabkan peniaga-peniaga Islam itu sendiri.

Berikut adalah beberapa tips tentang bagaimana anda boleh meningkatkan perkhidmatan dan keuntungan perniagaan Halal anda. Ini boleh digunakan untuk semua jenis perniagaan, dan bukan sekadar perniagaan daging:


 1. JADIKAN KEUNTUNGAN SEBAGAI MATLAMAT KEDUA

Matlamat utama perniagaan Islam tidak seharusnya untuk menjana keuntungan dalam pasaran orang Islam. Matlamat utama mereka haruslah untuk menyenangkan Allah dan mempromosikan Halal sebagai satu cara hidup.

Menjana keuntungan bukanlah satu matlamat yang tidak baik, namun begitu ia haruslah menjadi keutamaan yang kedua selepas Allah SWT.

Dengan menjadikan Allah SWT sebagai matlamat, dan melaksanakan peraturan Islam iaitu kejujuran, amanah, dan tingkah laku yang baik dengan pelanggan, Insya Allah, apa-apa perniagaan berlandaskan Islam pasti akan menguntung.

2. JUJUR DAN AMANAH

Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa ahli perniagaan yang jujur dan amanah akan memasuki syurga untuk bersama para nabi, orang-orang yang beriman dan mereka yang syahid.

Kejujuran dan amanah amat penting dalam perniagaan dan; apabila melibatkan perniagaan Islam, ianya bermakna mewujudkan rasa hormat dan kepercayaan daripada para pelanggan, yang mana tidak boleh dilakukan dengan tipu daya dan kata-kata dusta.

3. TERBUKA KEPADA NASIHAT DAN KRITIKAN

Meskipun ianya pahit untuk ditelan, bersedia untuk dikritik dari segi kebersihan dan ke-Halal-an sesuatu produk itu menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan pengguna. Ini berkesan untuk membina kepercayaan.

Bagi peniaga-peniaga yang mungkin merasa ragu-ragu atau benar-benar marah dengan pengguna Islam untuk bahkan bertanya tentang kebersihan dan ke-halal-an produk yang dibekalkan di kedai mereka, ingat bahawa ini adalah hak mereka sebagai pengguna.

Ingat juga, diakhirnya kelak, kita semua bertanggungjawab kepada Allah SWT. Jika sesebuah perniagaan itu menipu orang Islam, Allah akan mendedahkan perbuatan mungkar mereka.

Dan juga, perniagaan yang Halal bukanlah sebuah mesin membuat keuntungan untuk satu-satu orang sahaja. Ia juga merupakan institusi untuk masyarakat Islam.

Oleh itu, ia mesti memastikan bahawa ia memenuhi bukan sahaja piawaian negeri dan persekutuan, tetapi yang paling penting, piawaian Sunnah dan al-Quran.

Ekonomi Islam

4. JAGA KEBERSIHAN!

Ini adalah penting terutamanya untuk kedai-kedai runcit halal di mana kehadiran darah haiwan boleh dijangka. Tidak berjaga-jaga dalam hal ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan pelanggan, malahan juga jangkitan penyakit daripada bakteria di dalam darah.

Nabi Muhammad SAW berkata:

“Kebersihan mengajak ke arah iman (Iman) dan iman membawa pemiliknya ke syurga.” (Tabarani)

Kebersihan, bukan sahaja tertakluk kepada kawasan-kawasan jualan di mana pelanggan boleh lihat atau nampak, namun juga kepada peralatan-peralatan dan tempat penyimpanan.

5. TETAPKAN UNTUK MENCAPAI MATLAMAT LEBIH TINGGI

Jangan hanya menumpukan kepada kejayaan sebuah kedai runcit Halal dalam kejiranan pilihan anda sahaja. Fikirkan lebih daripada itu.

Tingkatkan inventori anda, barangan-barangan yang ada di dalamnya, dan berusaha untuk mencari cara meningkatkan mutu perkhidmatan dan margin keuntungan anda.

Juga, semak seandainya ada kemungkinan untuk mengumpulkan sumber di kalangan komuniti Islam atau pemegang saham untuk mengembangkan perniagaan tersebut.

Ini akan dapat mengurangkan kos overhead dan dalam jangka masa panjang, harga untuk para pelanggan anda.

6. BEKERJASAMA DENGAN MEREKA YANG SEALIRAN PASARAN DENGAN ANDA

Sudah tentu ini boleh menjadi sesuatu yang sukar. Persaingan boleh menimbulkan hasad dengki, tuduh-menuduh dan sebagainya yang sering mencirikan perniagaan Islam yang memasarkan produk yang sama. Namun ini bukanlah cara ekonomi Islam berfungsi.

Persaudaraan di kalangan umat tidak boleh dilupakan. Pertimbangkan untuk membentuk persatuan peruncit daging Muslim atau pengedar yang boleh duduk bersama-sama berkongsi pengalaman, dan belajar untuk bekerjasama.

Kerjasama ini insya Allah, dalam jangka masa panjang memberi manfaat kepada para pengguna Islam, malahan juga kepada para peniaga Islam itu sendiri.

Satu contoh di mana kerjasama boleh berlaku di dalam industri daging halal adalah dimana semua pekedai dan penyembelih menyembelih daging haiwan di kawasan yang sama, berbanding cara lama dimana setiap pihak melakukan kerja-kerja mereka di tempat milik mereka sendiri.

Dengan menyembelih di kawasan yang sama, kos seperti peralatan penyembelihan, sewa lokasi dan sebagainya dapat dikurangkan, dan pada masa sama, pengguna dapat membayar kurang untuk produk yang sama.

7. JANGAN SESEKALI MENJUAL YANG HARAM

Sementara banyak perniagaan islam bertumbuh bak cendawan selepas hujan, bukan semua yang mereka jual adalah Islamik.

Tidak sukar untuk menemui perniagaan milikan Islam yang menjual daging babi, alkohol, majalah lucah, atau menyewakan filem-filem porno di tangan kiri dan tangan kanan pula menjual daging Halal.

Dari sisi yang kurang melampau secara amnya, mungkin melibatkan peniaga-peniaga yang menjual produk Halal namun menyewakan atau menjual filem-filem berunsur budaya (terutamanya Indo-Pakistan).

Sementara filem-filem ini tidak memberi ancaman seperti mana filem-filem porno, namun harus diingat bahawa apabila ibu bapa beragama Islam dan orang dewasa dilihat menonton filem-filem yang berasal dari negara mereka, budaya mereka, anak-anak mereka dengan mudah menemui alasan untuk menonton filem-filem dari ‘budaya’ mereka sendiri, contohnya Hollywood-Amerika.

Ini memerlukan usaha dari pihak pemilik perniagaan Islam untuk menghapuskan apa yang Haram dan memastikan Halal dalam perniagaan mereka.

Satu anekdot mengenai amalan perniagaan Haram telah diceritakan oleh Imam Siraj Wahhaj daripada Brooklyn, New York semasa Khutbah beliau.

Beliau menceritakan hal seorang peniaga Muslim yang memiliki sebuah kedai menjual akhbar dan majalah – termasuklah majalah lucah.

Imam tersebut cuba untuk menyakinkan saudara seIslam tersebut untuk menghentikan penjualan majalah-majalah lucah ini. Pada satu ketika dia bersetuju, dan mengeluarkan majalah-majalah lucah ini dari rak jualannya.

Tetapi selepas beberapa ketika, Imam Wahhaj perasan majalah-majalah lucah ini kembali dipaparkan di atas rak.

Apabila dia bertanya kepada pekedai tersebut mengenai kemunculan semula majalah-majalah ini, pekedai tersebut mengatakan bahawa dia mengalami kerugian jika tidak menjual majalah-majalah lucah tersebu.

Tidak lama selepas itu, seluruh kedai tersebut musnah di dalam kebakaran.

Sesungguhnya sebagai orang Islam, kita haruslah berniaga dengan cara Islam dan mengutamakan hukum Halal Haram dalam perniagaan kita, dan bukan mengejar keuntungan semata-mata. Insya Allah perniagaan kita akan menguntung akhirnya.


Kredit: artizoneState Records NSW

Leave a Reply

avatar

You may also like

Terkini